8 February 2013

Sejarah Langkawi

BISMILLAH...


Langkawi merupakan salah satu daripada daerah dalam negeri Kedah Darul AmanMalaysia. Pulau Langkawi diberi status bebas cukai pada tahun 1987. Kini, pulau yang kaya dengan keindahan semula jadi dan lagenda masa silam ini telah menampilkan diri sebagai salah satu daripada destinasi perlancongan yang paling popular di MalaysiaLangkawi sebenarnya merupakan suatu gugusan pulau di mana Pulau Langkawi merupakan yang terbesar.




LANGKAWI dalam lagenda dikatakan tempat tinggal seekor burung garuda yang membinasakan angkatan anak raja Rom kecuali kapal Raja Merong Mahawangsa ketika itu mendarat di tanah besar mencari bekalan.


Sementara Laksamana Cheng Ho dalam pelayarannya ke Melaka (1405) mencatatkan kepulauan Langkawi sebagai "Lang-ya-kiao-yi". Dalam buku Sejarah Melayu, Langkawi dikaitkan dengan peristiwa pembunuhan Tun Jana Khatib dihukum bunuh oleh Paduka Seri Maharaja iaitu Sultan Singapura difitnahkan menggoda permaisuri baginda. Setelah dibunuh, badannya ghaib dan kononnya timbul di Langkawi, lalu dikarang orang sebuah pantun:-

Telor itik dari Singgora,
Pandan terletak dilangkahi;
Darahnya titik di Singapura,
Badannya terlantar di Langkawi.

Tahun 1621 seorang Jeneral Perancis yang berkhidmat di bawah Raja Lois XIV bernama Augustin De Beaulieu mendarat di Langkawi. Dalam catatannya: "Pada 17 August 1621 saya sampai di Pulau Lanchui, penduduk pulau menyebut nama pulau itu "Pulo Lancachuy" dan orang Aceh pula memberi nama "Pulo Lada". Luasnya lebih kurang 12 hingga 15 league (72-96 kilometer). Setengah bahagian penuh dengan gunung-ganang. Penduduk ketika itu kira-kira 100 orang. Tanah subur untuk buah-buahan, padi dan ternakan. Lada banyak ditanam di tanah pamah. Catatan Beaulieu dianggap lengkap.

Pada abad ke-16 dan 17 Masihi pelabuhan Ulu Melaka agak sibuk dengan urusan dagang. Peristiwa serangan Aceh (1619), Langkawi dijadikan pengkalan tentera laut Kedah. Penghulu yang memerintah Langkawi ketika itu dilantik oleh Sultan ialah Dato’ Pekerma Jaya.

Pembukaan Pulau Pinang oleh Francis Light (1786), pelabuhan Ulu Melaka merosot, kerana ramai pedagang memindahkan kegiatan perdagangan mereka ke Pulau Pinang. Keadaan ekonomi Langkawi bertambah buruk apabila dilanda kemarau panjang pada awal 1810. Tanaman padi dan lada tidak menjadi, binatang ternakan banyak yang mati.

Sebagai pengkalan angkatan tentera laut Kedah, Langkawi menjadi sasaran hebat angkatan tentera laut Siam di bawah pimpinan Phya Bari Saknutorn hingga ke Kuala Kedah pada 12 November 1821. British melalui East India Company membantu Siam memerangi angkatan tentera Kedah kerana kepentingan ekonomi. Akhirnya pada tahun 1841 Kedah terpaksa tunduk kepada kerajaan Siam dan bersetuju membayar ufti bunga emas.

Akibat serangan Siam dan Inggeris ke atas Langkawi, ramai penduduk Langkawi melarikan diri jauh ke kawasan pendalaman dan ramai menetap di kawasan bukit termasuk berpindah ke Sumatera, Perlis dan Selatan Siam.

Sejarah Mahsuri berlaku sekitar tahun 1817 hingga 1821. Tarikh sebenar tidak dapat dipastikan. Negeri Kedah ketika itu di bawah pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin Halim Syah II, dan penghulu Langkawi ialah Dato’ Pekerma Jaya. Kisah Mahsuri adalah sejarah bukan legenda, ini diperakui ramai tokoh sejarah Kedah, bagaimanapun peristiwa itu merupakan cerita lisan rakyat, hakikat terdedah kepada unsur tokok tambah, maka kemasukan unsure mitos dan lagenda tidak dapat dielakkan.

Setelah pulau ini musnah oleh serangan Siam dan Inggeris, penduduk Langkawi sentiasa hidup dalam ketakutan dan Langkawi tinggal dalam keadaan mundur. Peristiwa pembunuhan Mahsuri dengan sumpah padang jarak selama tujuh keturunan dalam konteks sejarah sumpahan itu tidak boleh dijadikan alasan kepada kemunduran Langkawi. Bukan sahaja mitos atau lagenda itu bercanggahan dengan akidah, malah ada faktor lain yang lojik boleh dikaitkan dengan kemunduran itu.

Di bawah pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Syah (1854-1879) dan zaman awal Sultan Abdul Halim Syah (1882-1943), Dato’ Wan Mat Saman bin Wan Ismail dilantik menjadi Perdana Menteri di samping diberi kuasa mentadbir Pulau Langkawi.

Pada 1 Syaaban 1317 bersamaan 6 Disember 1899, Langkawi menjadi salah sebuah daerah terawal di samping Changloon, Kulim, Kuala Muda dan Kerian. Pegawai Daerah pertama ialah Wan Ismail. Dalam tahun 1911 Pegawai Daerah ialah Wan Muhammad Said. Sementara Tunku Abdul Rahman Putera (Almarhum), bertukar dari Daerah Padang Terap menjadi Pegawai Daerah Langkawi (1934-1935). Beliau berusaha memperbaiki jalan-jalan raya dan yang paling penting membina jeti baru Kuah. Tuanku juga mengambil daya usaha memuliharakan Pusara Mahsuri serta memperkenalkan sejarah Mahsuri melalui pementasan bangsawan (1934) di Kuah dan seterusnya difilemkan.

Bagaimanapun pengisytiharan Langkawi sebagai Pelabuhan Bebas Cukai pada Januari, 1987 merupakan petanda Langkawi terus hidup. Hari ini dengan warganya kira-kira 65,000 orang Pulau Seri Negeri ini diangkat statusnya sebagai Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan. "Bukan Kepalang Memilih Namamu Langkawi".  

Sumber (http://www.ibrahim2u.com)
Bibliografi:

` Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah (DBP)
` Hikayat Merong Mahawangsa (DBP)
` Dewan masyarakat Mei, 1990
Sumber: http://www.kedah.gov.my/warta/Bil42001/Langkawi.html


No comments:

Post a Comment